Sering gaduh dengan kekasih

SAYA menjalin hubungan dengan kekasih selama tiga tahun. Awal perkenalan, saya dan dia sentiasa berhubung kerana kami tinggal tidak jauh. Namun sebaik saya mula bekerja, saya ditugaskan di Johor Bahru, menyebabkan kami menjalin hubungan jarak jauh.

Hanya telefon dan Internet menjadi penghubung. Sepanjang berjauhan, kami kerap salah faham hingga boleh menjejaskan keharmonian hubungan.

Tidak dinafikan mungkin disebabkan jadual tugas yang padat membuatkan dia berasa tersisih. Kami kerap bergaduh namun berbaik semula apabila lama mendiamkan diri. Kadangkala kami bergaduh besar sehingga memutuskan untuk berpisah tetapi hubungan bertaut kembali.

Buat pengetahuan Dang Setia, sebahagian besar pergaduhan berpunca daripada sikap saya yang kurang menyenangkannya. Saya anak tunggal dan gemar memendam rasa.

Saya lebih gemar berdiam diri dan tidak gemar meluahkan perasaan, terutama perkara membabitkan perasaan, kerana malu. Itu membuatkan dia tidak selesa kerana tidak dapat memahami saya, malah keadaan kami yang berjauhan membuatkan hubungan menjadi lebih sukar.Kemuncak pergaduhan kami, saya pernah terlepas kata dan dia tidak dapat menerimanya. Akhirnya kami memutuskan untuk berpisah.

Saya cuba memujuknya dan dia menerima kembali, namun dia mengambil sikap acuh tidak acuh hinggalah dia mengakui masih kecewa dan mula beralih kasih terhadap teman sekerja.

Mulai saat itu, saya mulai rasa keseorangan dan tidak dapat melupakannya.
Malah, saya rasa hubungan kami gagal disebabkan sikap saya tidak pandai menghargai dirinya, sedangkan saya merancang untuk bertunang dengannya tahun depan.

Saya tidak pasti sama ada saya patut terus memenangi hatinya atau berundur diri. Bagi saya, dia gadis terbaik pernah saya temui.

RIZ
Merlimau, Melaka

Jangan mengharap andai dia beralih kasih. Mungkin dia bukan diciptakan untuk saudara sebagai ‘Hawa’ yang menyerikan hidup saudara.

Malah, kasih terputus di pertengahan membuatkan memori kisah lalu bersama si dia sebati dan sukar dilupakan.

Namun, ia bukan perkara mustahil kerana ibarat pepatah orang lama, ‘bunga bukan sekuntum dan kumbang bukan seekor’.

Tambah pula saudara lelaki, jadi lebih mudah memikat kerana tidak perlu khuatir soal perigi mencari timba berbanding perempuan yang masih terbatas oleh adat dan santun Melayu.

Bagi Dang Setia, carilah cinta baru kerana si dia memberi tanda tidak sanggup lagi meneruskan hubungan. Jelas pasangan saudara berterus terang mempunyai hubungan dengan teman sekerja cukup memberi alasan kuat supaya saudara mengundur diri.

Mungkin dia gadis terbaik pernah saudara temui tetapi masih belum cukup sesuai menjadi pasangan saudara. Lupa dan lepaskan kerana dia tidak acuh melayan cinta saudara.

Tindakan terus memenangi si dia seakan-akan saudara mendera diri sendiri dan si dia pula sengsara kerana saudara ibarat mengikat dirinya, sedangkan tiada lagi berbaki cinta.

Adakalanya melepaskan orang yang kita cinta lebih membahagiakan daripada hidup bersama. Sekali lagi Dang Setia sarankan, mulakan cinta baru dengan menutup kisah cinta lama. Setidak-tidaknya, saudara boleh belajar menghargai pasangan baru dengan ‘sikap baru’ supaya hubungan kelak lebih berkekalan.

Post Popularity 0%  
Popularity Breakdown
Comments 0%  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share
This entry was posted in Agama, Pendidikan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>