SAYA berusia awal 20-an dan menuntut di universiti. Saya berkenalan dengan seorang junior saya dan berkawan hampir setahun sebelum kami bercinta.Baru-baru ini, saya memutuskan hubungan dengannya kerana kami tiada persefahaman lagi. Kami mengalami banyak konflik hingga saling hilang kepercayaan.
Akhirnya, dia menyatakan bosan dengan cara saya yang terlalu menjaga pergaulan kami. Tindakan saya seperti menolak berpegangan tangan dan keluar malam dengannya menyebabkan dia tidak berpuas hati. Saya akui terlalu menjaga diri dan membataskan hubungan kami. Selain itu, saya sentiasa sibuk dengan tugas sebagai pelajar dan aktif berpersatuan.
Namun, dia sangat menyayangi saya kerana saya setia dan tidak melayan lelaki lain. Saya sering menjadi perhatian pelajar atau lelaki lain dan ini membuatkan dia berasa cemburu.Di segi lain, dia lelaki baik kerana tidak lokek membantu saya mahupun orang lain. Namun, saya lebih selesa sendirian dan memberi tumpuan 100 peratus kepada pelajaran.
Oleh kerana kami kerap bergaduh, soal remeh temeh begini membuatkan saya rimas dan mengambil keputusan mengakhiri hubungan kami. Saya juga meminta supaya hubungan kami kekal sebagai kawan biasa.
Dia tidak dapat menerima dan mula membenci saya. Saya rasa serba salah. Adakah tindakan saya salah?
SAIRAH
Rembau
Sebaik adik mengutarakan permasalahan, teringat Dang Setia akan lagu Sohaimi Mior Hassan bersama Ana Raffali iaitu Kalau Berpacaran.
Ungkapan ‘jangan pegang-pegang, duduk renggang-renggang’ seharusnya diamati dengan baik oleh anak muda yang asyik bercinta seperti pasangan adik. Seharusnya teman lelaki menyokong tindakan adik kerana pandai menjaga kehormatan dan tahu menjaga batas pergaulan. Bukannya menjadikan ia sebagai alasan untuk bertengkar.
Bagi Dang Setia, pilihan adik memutuskan hubungan adalah opsyen terbaik ketika ini kerana adik menyifatkan keadaan kini lebih tenang dan dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran. Namun kesan dan cabaran adik perlu tangani sebaik-baiknya kerana memutus hubungan memerlukan persediaan bukan saja daripada segi emosi, malah mental juga perlu kuat.
Oleh itu, rasionalkan tindakan adik adalah untuk kebaikan adik dan pasangan kerana tiada keserasian. Cuba sampaikan maksud perpisahan itu untuk kehidupan lebih baik kepada pasangan dan saudari berasa meneruskan hubungan hanya mendera adik dan dirinya. Dia inginkan pasangan suka dipegang tangannya dan keluar malam, yang nyata sangat berbeza dengan diri adik dan adik pula mahu pasangan yang memahami diri adik.
Nyatakan adik tidak sanggup lagi bergaduh dan berasa jodoh dengan dirinya ketika ini lebih sesuai sebagai rakan. Jika dia tidak dapat menerima semua alasan dan kekal membenci adik, cekalkan hati dan pohon kepada Allah supaya dilembutkan hati untuk menerima keputusan itu.


